ANALISIS KERUNTUHAN UMNO BAHAGIAN PARIT

UMNO BAHAGIAN PARIT MAKIN BERGOLAK?

Pandak Gendei

Mesyuarat Pemilihan Agung Umno Bahagian baru sahaja berlalu. Banyak
cawangan Umno dalam Bahagian ini mendapat ketua-ketua cawangan yang baru walaupun mereka adalah orang lama. "Peperangan" politik dalaman antara Team Nasaruddin Alang Saidin dengan Team Datuk Zaim Abu Hassan masih membara seperti api dalam sekam. Pemilihan cawangan baru-baru ini adalah buktinya.

Ia mengesahkan lagi pola aliran kepimpinan Umno Bahagian itu menjelang
tahun 2003. Team Nasaruddin makin menguasai semula Umno Parit dan banyak cawangan-cawangan menjadi proksinya. Kekalahan Zaim dan Ismail Hasbullah dalam pilihanraya lalu, memberi saham penghakisan pengaruh terhadap mereka. Sebaliknya, Nasaruddin giat mengasah taji untuk menumbangkan Zaim sebagai Ketua Bahagian.

Pada tahun 2003 nanti, sekali lagi pemilihan akan diadakan. Nasaruddin
mesti bersiap sedia dari sekarang. Khabarnya, ramai juga orang KeAdilan
yang bergerak di cawangan dalam pilihanraya lalu, kini mula masuk semula
ke dalam Umno. Ini ditambah pula, kedudukan kewangan Zaim dan Ismail,
makin gawat dan tidak mampu nak mengumpan apa-apa lagi.

Persiapan Team Nasaruddin yang juga tokoh kontroversi dalam Umno
Bahagian cukup mantap. Beliau adalah bekas Ahli Parlimen Parit yang
mudah dirapati oleh ahli-ahli Umno yang serasi dengannya. Telah beberapa
penggal, beliau membuat percubaan untuk merebut jawatan Ketua Bahagian
daripada Datuk Zaim dan pernah juga cuba untuk menumbangkan Timbalan
Ketua Umno Bahagian, Ismail Hasbollah tetapi semua percubaannya gagal.

Dalam pilihanraya tahun 1986, beliau menewaskan Imam Besar Masjid Perak,
Mohd Nur Mansor. Kemudian dalam pilihanraya berikutnya, beliau
menumbangkan sekali lagi calon PAS, Khidir Kasar. Pada pilihanraya umum
1995, beliau disingkirkan oleh Ramli kerana tidak "ngam" lalu tempatnya
digantikan oleh mak saudara Ramli, Ainon Khairiyyah dari Pasir Salak.
Namun begitu, Nasaruddin agak unik dikalangan ahli Umno Parit. Namanya
terus disebut bakal calon yang akan menentang habis-habisan Ketua Umno
Bahagian, Zaim Abu Hassan dalam penilihan parti itu akan datang. Malah
khabarnya, perkahwinan anak sulong Nasaruddin di Taman Tun Dr. Ismail
Kuala Lumpur, hampir tujuh ke lapan bas para penyokongnya dari Parit
"turun padang" termasuklah kumpulan marhaban dan rebana. Apa motif
pembiayaannya ini?

Untuk menentang Zaim, apakah kekuatan Nasaruddin dan siapakah gandingan
atau regu beliau kelak? Nasaruddin memang berpengaruh dikalangan
grassroot. Begitu Zaim. Selain dari Den Kirau dan Cikgu Megat Senin,
ramai lagi proksi yang berani sehidup semati dengannya termasuklah
Norasid Untung dan Yusuf Nordin.

Dalam Pergerakan Pemuda pula, Nasarauddin mempunyai Jeni, Setiausaha
Pemuda Bahagian yang kaya-raya dan amat berpengaruh kalangan grassroot
disamping Bentayan dan lain-lain. Walaupun banyak yang belot dalam
pilihanraya dulu, Umno Parit tidak tergamak mengambil tindakan kerana
jika dilakukan, maka "kosonglah" Umno di Bahagian ini.

YB. Usaili Alias yang juga rakan karib Nasaruddin telah dipecat seumur
hidup dari Umno. Beliau keluar parti dan mengetuai Parti KeAdilan Parit.
Natijah dari sifatnya sebagai ketua, beliau dipilih bertanding dalam
pilihanraya lalu di DUN Bota, ditakdirkan menang mudah.

Usaili pada mula kareier politiknya adalah "orang kanan" macam Setpol
kepada Nasaruddin sewaktu menjadi Ahli Parlimen Parit. Dalam pilihanraya
umum 1995, Usaili adalah calon proksi Nasaruddin yang bakal bertanding
atas tiket calon bebas menentang Ismail Hasbollah. Begitulah ketaatan
Usaili terhadap Nasaruddin dengan janji semua penyokong Nasaruddin akan
menyokong penuh beliau menentang Ismail Hasbolah. Namun begitu,
hasratnya tidak kesampaian setelah dinasihatkan oleh Nasaruddin sendiri.
Padahal, beliau sudah diarak oleh hampir 10 biji kereta penyokong
Nasaruddin yang tidak berpuashati dengan pemilihan Ismail Hasbullah
sebagai calon Bota. Usaili diarak hingga berpangkalan di rumah Cikgu
Dahaman, Kg. Padang Marhum, Teluk Bakong.

Apakah mereka ada menjual "permainan" ketika itu? Mungkin ya atau tidak?
Dalam politik semuanya boleh. Hal ini boleh terjadi kerana penarikkan
diri seseorang calon boleh dibuat jika "umpannya" lebih besar dari
mendapatkan sesuatu yang belum tentu dapat.

Akhirnya, hasrat Usaili dan menentang Ismail termakbul walaupun atas
tiket KeAdilan. Ismail tumbang. Nasaruddin dikatakan banyak membantu
Usaili dari sumber kewangan dan "pengaruh" dalam pilihanraya umum lalu.
Khabarnya, ceramah dan perjumpaan Nasaruddin lebih mengajak para
pengundi mengundi KeAdilan di Bota dan memangkah Dacing di Parlimen
Parit. Begitu juga di Belanja, beliau memberi laluan kepada Zaim dalam
kempen-kempennya.

Kini Usaili tidak lagi menjadi regu Nasaruddin. Beliau juga tidak lagi
terlibat sebagai pekerja dengan syarikat makanan haiwan yang ditubuhkan
mereka di Gelung Pepuyu, Titi Gantung. Usaili meninggalkan syarikat itu
untuk meneruskan perjuangannya dalam "KeAdilan".

Jika "peperangan" besar akan berlaku tiga tahun lagi, kemungkinan Usaili
ditarik semula oleh Nasaruddin punyai peluang yang besar. Nasaruddin
boleh "merapati" Tajol Rosli sebagai Ketua Perhubungan Umno Perak dan
sekaligus upaya menaikan imej Nasaruddin yang mampu "menarik" ADUN Bota itu ke dalam Umno semula. Hubungan Usaili dengan Nasaruddin hingga ke hari ini cukup "intim". Seolah-olah, mereka masih berada dalam satu
kapal!

Hakikat ini, membolehkan UMNO Parit pulih semula dengan adanya
satu-satunya ADUN KeAdilan dalam DUN Negeri Perak, yang kembali
menyarung jersi "Merah-Putih". Untuk menentang Zaim, Nasarudin
memerlukan regu yang kuat sebagai timbalannya kelak. Usaili adalah
satu-satunya regu yang "ngam" dan berkebolehan untuk mengendalikan
karenan UMNO Bahagian Parit.

Langkah menyingkirkan Ismail Hasbollah menjadi lebih mudah dengan
meletakkan Usaili. Hubungan rapat Nasaruddin dengan Tajol juga berupaya
untuk memulihkan Umno Bahagian. Tajol sebagai MB dan Ketua Perhubungan Umno Perak sudah tentu "mengidam" untuk mendapat proksi atau "orang beliau" di Parit.

Zaim, Ismail Hasbullah yang menerajui UMNO Parit bukanlah "ngam" sangat
dengan Tajol. Mereka adalah proksi Ramli Ngah Talib. Kini, Ramli bukan
lagi Ketua Perhubungan Umno Perak. Jawatan Zaim selaku Setiausaha
Perhubungan Umno Perak juga boleh dipindahkan kepada proksi Tajol yang
lain.

Dengan adanya, Nasaruudin sebagai proksi Tajol di Parit, Umno Bahagian
ini dijangka akan dipulihkan dalam tempoh yang singkat. Apatah lagi,
penghijrahan Usaili sekaligus berjaya "membunuh" Parti KeAdilan Perak
dan Bahagian Parit dari terus bernafas. Menghadapi PAS mungkin lebih
mudah bagi Umno kerana tidak ramai orang Umno berkenan dengan PAS.
Sebaliknya, sokongan mereka tidak berbelah bagi terhadap KeAdilan,
kerana pada mereka KeAdilan adalah adik bongsu Umno yang mempunyai
aspirasi dan semangat yang sama seperti Umno.

Andainya, percaturan ini berlaku, pemecatan Usaili dari Umno seumur
hidup boleh diperbetulkan. Apalah sangat Usaili berbanding Ku Li yang
menentang Mahathir, membunuh Umno, menubuhkan Semangat 46 dan menyerang peribadi Mahathir bertubi-tubi. Ku Li yang begitupun boleh diterima oleh Mahathir, inikan pula Usaili yang masih bersih. Bukankah Tajol antara "anak emas" Mahathir. Tentu sekali, memujuk Mahathir lebih mudah dan lebih berkesan.

Ikuti perkembangan politik Umno Bahagian Parit dalam keluaran akan
datang. Insya-Allah!